Sunday, December 14, 2014

Cabaran Generasi Y

Generasi Y merujuk kepada golongan muda yang lahir pada pertengahan 1970 hingga 2000. Generasi ini juga dikenali sebagai generasi mellennial kerana sudah mahir dengan teknologi. Generasi ini mempunyai ciri-ciri yang berbeza mengikut keadaan sosial dan ekonomi setempat. Walaubagaimanapun generasi ini mempunyai kebolehan mempelajari sesuatu perkara dengan cepat terutamanya dalam berkomunikasi dan penggunaan media serta teknologi digital. Manakala menurut Universiti Utara Malaysia(UUM) dalam berita onlinenya bertarikh 5 Desember 2013 menyatakan, anak-anak muda hari ini yang lebih dikenali sebagai Generasi Y (Gen Y), merupakan generasi yang sukakan cabaran, energetik dan berfikiran terbuka serta mampu memacu pelaksanaan agenda dan membentuk masa depan negara.



Generasi Y dikenali sebagai tenacious go-getters dengan semangat I can do anything dan sangat sukakan persekitaran yang mencabar. Golongan ini, sangat sukakan pencapaian tinggi, mahir dalam penggunaan teknologi, berorientasikan pasukan dan sukakan suasana yang seronok dalam bekerja serta tidak mementingkan imbuhan semata-mata. Namun begitu, golongan ini sangat tidak responsif dengan taktik motivasi do-this-or-else dan adakalanya dilihat bersikap biadap terhadap ketua apabila tidak setuju dalam sesuatu perkara. Golongan ini juga kurang memberi respon kepada arahan berbentuk tradisional atau berbentuk wujudnya kawalan keterlaluan dari pengurusan. Mereka dilahirkan dalam persekitaran yang banyak mempersoalkan kenapa itu dan ini berlaku.


Terdapat tiga cabaran dalam berhadapan dengan generasi Y ini iaitu masalah kurang perhatian dari ibu bapa, pendedahan anasir luar dan sistem pendidikan yang diplomasi. Kesibukan ibu bapa bekerja hari ini menjadikan anak-anak kurang mendapat kasih sayang keluarga. Ibu bapa pula menjadikan alasan ingin memberi kemewahan kepada si anak sebagai medium melepaskan tanggungjawab mereka memberi perhatian penuh kepada pembesaran anak-anak. Masa anak-anak pula banyak dihabiskan bersama pembantu rumah atau menonton televisyen tanpa kawalan. Secara langsung keadaan ini mempengaruhi kehidupan anak-anak sehingga mereka memilih untuk menentukan cara hidup mereka sendiri tanpa campurtangan keluarga. Faktor kesibukan ibu bapa juga menjadi antara alasan kuat golongan remaja ini untuk keluar mencari keseronokan sendiri bersama kawan-kawan. Kesannya anak-anak akan semakin menjauh dari ibu bapa dan sukar untuk menerima teguran mereka.




Remaja hari ini terdedah dengan teknologi maklumat yang cukup terbuka dan bebas. Para remaja boleh mengakses laman pornografi dengan begitu mudah tanpa sebarang halangan dan sekatan. Begitu juga dengan laman-laman sesawang yang boleh merosakkan akidah dan melunturkan jati diri seseorang remaja timur. keadaan ini jika tidak dikawal boleh menyebabkan generasi Y terdedah dengan anasir luar yang boleh merosakkan bangsa. Kebebasan tanpa had dan batasan akan merosakkan minda dan otak remaja selain merosakkan jatidiri muslim seorang remaja. Banyak berita yang dilaporkan oleh akhbar arus perdana tentang kisah remaja-remaja lelaki yang merogol adik perempuan dan kawan-kawan perempuan mereka setelah terangsang akibat melihat video lucah atau aksi lucah di internet.


 

Cara mendidik remaja generasi Y hari ini amat berbeza dengan pendidikan generasi X dan sebelumnya. Remaja hari ini berhadapan dengan diplomasi pendidikan yang cukup tinggi sehingga menyebabkan para pendidik dan guru akan berhadapan dengan tindakan disiplin sekiranya mereka melakukan kekasaran kepada para pelajar. Berbeza dengan sistem pendidikan dahulu yang mengiktiraf penggunaan rotan dan hukuman kepada murid. Pada hari ini, kesalahan dan kenakalan murid hanya perlu diatasi dengan nasihat dan khidmat kaunseling. Sebahagian daripada kaedah ini tidak berjaya membentuk murid menjadi seorang yang lebih baik kerana dilihat pendekatannya yang lebih lembut berbanding dengan pendekatan zaman dahulu yang akan memberi kesan mendalam kepada seseorang pesalah.




Ketiga-tiga cabaran ini mendedahkan remaja generasi Y kepada sebuah kehidupan yang cukup bebas daripada ikatan peraturan agama. Perkara ini mudah berlaku sekiranya tidak diberikan penekanan yang sewajarnya oleh ibu bapa dan penjaga. Longgarnya kehidupan dan penghayatan agama akan mendorong berbagai-bagai jenayah dan masalah sosial yang bakal membelenggu kehidupan remaja masa kini.