Sunday, December 14, 2014

Cabaran Generasi Y

Generasi Y merujuk kepada golongan muda yang lahir pada pertengahan 1970 hingga 2000. Generasi ini juga dikenali sebagai generasi mellennial kerana sudah mahir dengan teknologi. Generasi ini mempunyai ciri-ciri yang berbeza mengikut keadaan sosial dan ekonomi setempat. Walaubagaimanapun generasi ini mempunyai kebolehan mempelajari sesuatu perkara dengan cepat terutamanya dalam berkomunikasi dan penggunaan media serta teknologi digital. Manakala menurut Universiti Utara Malaysia(UUM) dalam berita onlinenya bertarikh 5 Desember 2013 menyatakan, anak-anak muda hari ini yang lebih dikenali sebagai Generasi Y (Gen Y), merupakan generasi yang sukakan cabaran, energetik dan berfikiran terbuka serta mampu memacu pelaksanaan agenda dan membentuk masa depan negara.



Generasi Y dikenali sebagai tenacious go-getters dengan semangat I can do anything dan sangat sukakan persekitaran yang mencabar. Golongan ini, sangat sukakan pencapaian tinggi, mahir dalam penggunaan teknologi, berorientasikan pasukan dan sukakan suasana yang seronok dalam bekerja serta tidak mementingkan imbuhan semata-mata. Namun begitu, golongan ini sangat tidak responsif dengan taktik motivasi do-this-or-else dan adakalanya dilihat bersikap biadap terhadap ketua apabila tidak setuju dalam sesuatu perkara. Golongan ini juga kurang memberi respon kepada arahan berbentuk tradisional atau berbentuk wujudnya kawalan keterlaluan dari pengurusan. Mereka dilahirkan dalam persekitaran yang banyak mempersoalkan kenapa itu dan ini berlaku.


Terdapat tiga cabaran dalam berhadapan dengan generasi Y ini iaitu masalah kurang perhatian dari ibu bapa, pendedahan anasir luar dan sistem pendidikan yang diplomasi. Kesibukan ibu bapa bekerja hari ini menjadikan anak-anak kurang mendapat kasih sayang keluarga. Ibu bapa pula menjadikan alasan ingin memberi kemewahan kepada si anak sebagai medium melepaskan tanggungjawab mereka memberi perhatian penuh kepada pembesaran anak-anak. Masa anak-anak pula banyak dihabiskan bersama pembantu rumah atau menonton televisyen tanpa kawalan. Secara langsung keadaan ini mempengaruhi kehidupan anak-anak sehingga mereka memilih untuk menentukan cara hidup mereka sendiri tanpa campurtangan keluarga. Faktor kesibukan ibu bapa juga menjadi antara alasan kuat golongan remaja ini untuk keluar mencari keseronokan sendiri bersama kawan-kawan. Kesannya anak-anak akan semakin menjauh dari ibu bapa dan sukar untuk menerima teguran mereka.




Remaja hari ini terdedah dengan teknologi maklumat yang cukup terbuka dan bebas. Para remaja boleh mengakses laman pornografi dengan begitu mudah tanpa sebarang halangan dan sekatan. Begitu juga dengan laman-laman sesawang yang boleh merosakkan akidah dan melunturkan jati diri seseorang remaja timur. keadaan ini jika tidak dikawal boleh menyebabkan generasi Y terdedah dengan anasir luar yang boleh merosakkan bangsa. Kebebasan tanpa had dan batasan akan merosakkan minda dan otak remaja selain merosakkan jatidiri muslim seorang remaja. Banyak berita yang dilaporkan oleh akhbar arus perdana tentang kisah remaja-remaja lelaki yang merogol adik perempuan dan kawan-kawan perempuan mereka setelah terangsang akibat melihat video lucah atau aksi lucah di internet.


 

Cara mendidik remaja generasi Y hari ini amat berbeza dengan pendidikan generasi X dan sebelumnya. Remaja hari ini berhadapan dengan diplomasi pendidikan yang cukup tinggi sehingga menyebabkan para pendidik dan guru akan berhadapan dengan tindakan disiplin sekiranya mereka melakukan kekasaran kepada para pelajar. Berbeza dengan sistem pendidikan dahulu yang mengiktiraf penggunaan rotan dan hukuman kepada murid. Pada hari ini, kesalahan dan kenakalan murid hanya perlu diatasi dengan nasihat dan khidmat kaunseling. Sebahagian daripada kaedah ini tidak berjaya membentuk murid menjadi seorang yang lebih baik kerana dilihat pendekatannya yang lebih lembut berbanding dengan pendekatan zaman dahulu yang akan memberi kesan mendalam kepada seseorang pesalah.




Ketiga-tiga cabaran ini mendedahkan remaja generasi Y kepada sebuah kehidupan yang cukup bebas daripada ikatan peraturan agama. Perkara ini mudah berlaku sekiranya tidak diberikan penekanan yang sewajarnya oleh ibu bapa dan penjaga. Longgarnya kehidupan dan penghayatan agama akan mendorong berbagai-bagai jenayah dan masalah sosial yang bakal membelenggu kehidupan remaja masa kini.

Tuesday, November 18, 2014

JENAYAH KOLAR PUTIH

Sejak akir-akhir ini kita seringkali dikejutkan dengan jenayah kolar putih. Walaupun tidak melibatkan bilangan yang ramai tetapi ia memberi impak yang besar kerana kebanyakan jenayah kolar putih melibatkan rasuah dan penyelewengan. Jenayah kolar putih merujuk kepada jenayah yang dilakukan oleh seseorang terhormat dan berstatus tinggi dalam pekerjaannya, biasanya melibatkan pegawai.

Jika difikirkan, adalah tidak logik bagaimana seseorang yang berstatus tinggi boleh terjebak dalam kancah jenayah kolar putih. Namun semua ini berbalik kepada diri individu itu sendiri. Walau setinggi mana pun dia, tetapi mempunyai kelemahan peribadi yang lemah, memang sukar untuk mereka melepaskan diri dari terjebak dengan jenayah kolar putih. Mereka sedar tindakan mereka yang terlibat dengan rasuah dan pecah amanah itu salah, tetapi sikap mahu hidup mewah, menunujuk-nunjuk, riak, tamak dan ingin cepat kaya lebih menguasai diri mereka sehinggakan mereka melanggar batas-batas yang telah ditetapkan.

Selain itu, individu yang mempunyai kepimpinan yang lemah, tidak yakin pada diri sendiri dan mudah dipengaruhi oleh orang lain adalah sangat mudah untuk melakukan rasuah. Mereka akan mudah dipengaruhi dan dipujuk oleh orang lain untuk memberi atau menerima rasuah. Kesan dari amalan rasuah tersebut telah menyebabkan masyarakat hilang kepercayaan terhadap individu dan kepimpinan organisasi tersebut.

Kurangnya didikan agama dan didikan moral juga menjadi salah satu punca berlakunya jenayahkolar putih ini. rata-rata yang terlibat dengan jenayah ini ialah mereka yang mempunyai pengangan agama yang lemah. Hal ini kerana, golongan jenis ini lebih mudah menggunakan kedudukan dan peluang yang ada pada dirinya untuk menerima habuan tanpa berasa bersalah. Malah individu yang terlibat dengan rasuah ini langsung tidak berasa malu atau takut kepada Allah apatah lagi balasanNya sama ada di dunia ataupun pada hari akhirat.

Sebenarnya terlalu banyak yang menjadi punca dan sebab kenapa jenayah kolar putih itu berlaku. Namun semuanya berbalik pada diri individu. jika mereka memikirkan kesan jangka panjang dah tetap dengan pendirian, tidak mustahil perkara sebegini dapat dibendung. selain itu, pihak kerajaan dan semua yang terlibat juga perlulah bersama-sama berganding bahu bagi menyelesaikan masalah ini agar kita boleh mencapai angka sifar dan meneruskan agenda pembangunan negara. 




 

Tuesday, October 28, 2014

Meneraju Mahasiswa Minda kelas Pertama.

Bismillahirrahmanirrahim

Minda kelas pertama. setiap dari kita saya pasti ingin berada dalam kategori minda kelas pertama. Namun, apa yang kita faham tentang minda kelas pertama? Okey, mula-mula yang kita patut tahu ialah, apa yang dimaksudkan dengan minda kelas pertama itu? Minda kelas pertama secara mudah difahami sebagai ciri-ciri modal insan yang mampu memenuhi keperluan pembangunan individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia.

Mahasiswa yang berminda kelas pertama ialah mereka yang sentiasa menjana mindanya. Mereka mempunyai empat ciri utama iaitu kesedaran kendiri, sifat ingin tahu, sifat fokus dan  daya inisiatif. Keempat-empat ciri utama ini akan menghasilkan budaya kerjaya yang positif dan membantu dalam analisa-analisa membuat keputusan dan pemilihan serta evaluasi kepada keputusan tersebut.
Kesedaran kendiri, bermaksud reflektif pada diri. Ia bermaksud melihat dan mengkaji diri sendiri dan lebih responsif kepada persekitaran. Kesedaran kendiri akan menyebabkan mahasiswa sentiasa menyedari apa yang berlaku dengan persekitarannya. Dengan penyediaan kesedaran kendiri yang kukuh, mahasiswa tersebut mampu menghadapi sebarang perubahan keadaan dan fleksibel serta mudah menyesuaikan diri dengan keadaan.
Sikap ingin tahu atau ‘inquisitivity’ adalah antara sifat minda kelas pertama. Mahasiswa yang mempunyai sikap ingin tahu akan sentiasa bertanya dalam semua keadaan dan mengkaji permasalahan sesuatu . Mereka tidak semestinya filosofikal tetapi mereka mempunyai keupayaan untuk memahami sesuatu dengan semangat yang tinggi serta berterusan. Sikap ingin tahu yang telah dilatih ini akan menyebabkan mahasiswa tesebut mudah memahami maklumat pada kategori rendah dan adanya cubaan memahami masalah yang lebih kompleks dengan mendalam. 
Nilai ketiga adalah sifat fokus. Sifat ini bermaksud bersungguh dalam melakukan sebarang perkara. Ia berlawanan kepada sifat, hangat- hangat taik ayam. Untuk membuat sesuatu keputusan, fokus akan memberikan keputusan yang lebih jitu dan terancang daripada sifat melulu.
Begitu juga, dengan sifat yang keempat, iaitu daya inisiatif. Daya inisiatif ini penting untuk mewujudkan idea-idea baru yang akan menjana kecemerlangan produktiviti. Daya inisiatif ini akan mewujudkan kepada invensi perkara baru yang lebih bermanfaat kepada manusia sejagat.
Sebagai seorang mahasiswa, ciri-ciri minda kelas pertama ini perlu ada pada setiap mahasiswa bagi memastikan mahasiswa yang dilahirkan adalah mahasiswa yang berkualiti. Minda kelas pertama adalah rekusit kepada peradaban yang terbaik untuk umat sejagat. Bukan mudah untuk menjadi yang terbaik namun ia juga bukanlah sesuatu yang mustahil.  

Friday, October 3, 2014

KEMASUKAN PELAJAR KE UNIVERSITI UTARA MALAYSIA SESI SEPT 2014/2015

Alhamdulillah, bulan September tiba lagi. Seperti tahun-tahun sudah, bulan ini begitu dinanti-nantikan oleh beberapa pihak terutamanya pelajar lepasan STPM, STAM dan diploma. hal ini kerana mereka akan melalui hari yang bermakna dalam sejarah hidup mereka, iaitu mendaftar diri pada awal bulan ini bagi meningkatkankan lagi taraf pendidikan masing-masing. Pelbagai persiapan telah mereka lakukan bagi memastikan perjalanan hari itu berjalan dengan lancar.

Bagi sesi kemasukan 39, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima seramai 3,437 pelajar baru sesi Sept 2014/2015. Seramai 328 dari jumlah sebenar merupakan pelajar antarabangsa yang terdiri dari negara China, Indonesia dan Nigeria dan selebihnya merupakan pelajar tempatan. Kemasukan pelajar kali ini melihatkan kebanjiran kaum wanita apabila hampir 3,000 dari kemasukan pelajar ke UUM merupakan pelajar perempuan.

Menurut Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, hanya pelajar yang terbaik dipilih untuk menjadi pelajar di UUM bagi memastikan pelajar yang dilahirkan berkualiti tinggi. Hal ini terbukti apabila dilihat Purata Markah Keseluruhan (PMK) pelajar baru UUM ialah 3.00 dan ke atas.

kemasukan kali ini juga menampakkan kelainan untuk pelajarnya apabila pelajar di bawah Kolej Perniagaan (COB) diwajibkan mengambil subjek elektif bahasa Mendarin sebagai nilai tambah kepada mereka dan membolehkan mereka bersaing untuk menempatkan diri dalam pasaran kerjaya pada masa hadapan.

Menurut Muhammad Leman yang merupakan salah seorang dari pelajar tersebut berkata, dia memilih UUM kerana dia yakin universiti ini mampu memberinya ilmu yang secukupnya untuk dia bersaing dalam dunia perniagaan. Oleh itu, anak kelahiran Batang Kali, Selangor ini tidak kisah apabila terpaksa berhijrah ke bumi sintok yang memakan masa hampir enam jam perjalanan demi secebis ilmu. Suasana pembelajaran yang kondusif dan prestasi UUM yang baik pula menjadi asbab anak kelahiran Kota Bharu, kelantan iaitu Goh Hooi Zing memilih UUM sebagai tempat untuknya melanjutkan pelajaran.

Sebenarnya walau universiti apa pun yang kita dapat, matlamat utama kita masih sama iaitu untuk melanjutkan pelajaran yang lebih tinggi bagi menjamin masa depan yang cerah. Oleh itu, peluang melanjutkan pelajaran ini haruslah dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.