Tuesday, October 28, 2014

Meneraju Mahasiswa Minda kelas Pertama.

Bismillahirrahmanirrahim

Minda kelas pertama. setiap dari kita saya pasti ingin berada dalam kategori minda kelas pertama. Namun, apa yang kita faham tentang minda kelas pertama? Okey, mula-mula yang kita patut tahu ialah, apa yang dimaksudkan dengan minda kelas pertama itu? Minda kelas pertama secara mudah difahami sebagai ciri-ciri modal insan yang mampu memenuhi keperluan pembangunan individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia.

Mahasiswa yang berminda kelas pertama ialah mereka yang sentiasa menjana mindanya. Mereka mempunyai empat ciri utama iaitu kesedaran kendiri, sifat ingin tahu, sifat fokus dan  daya inisiatif. Keempat-empat ciri utama ini akan menghasilkan budaya kerjaya yang positif dan membantu dalam analisa-analisa membuat keputusan dan pemilihan serta evaluasi kepada keputusan tersebut.
Kesedaran kendiri, bermaksud reflektif pada diri. Ia bermaksud melihat dan mengkaji diri sendiri dan lebih responsif kepada persekitaran. Kesedaran kendiri akan menyebabkan mahasiswa sentiasa menyedari apa yang berlaku dengan persekitarannya. Dengan penyediaan kesedaran kendiri yang kukuh, mahasiswa tersebut mampu menghadapi sebarang perubahan keadaan dan fleksibel serta mudah menyesuaikan diri dengan keadaan.
Sikap ingin tahu atau ‘inquisitivity’ adalah antara sifat minda kelas pertama. Mahasiswa yang mempunyai sikap ingin tahu akan sentiasa bertanya dalam semua keadaan dan mengkaji permasalahan sesuatu . Mereka tidak semestinya filosofikal tetapi mereka mempunyai keupayaan untuk memahami sesuatu dengan semangat yang tinggi serta berterusan. Sikap ingin tahu yang telah dilatih ini akan menyebabkan mahasiswa tesebut mudah memahami maklumat pada kategori rendah dan adanya cubaan memahami masalah yang lebih kompleks dengan mendalam. 
Nilai ketiga adalah sifat fokus. Sifat ini bermaksud bersungguh dalam melakukan sebarang perkara. Ia berlawanan kepada sifat, hangat- hangat taik ayam. Untuk membuat sesuatu keputusan, fokus akan memberikan keputusan yang lebih jitu dan terancang daripada sifat melulu.
Begitu juga, dengan sifat yang keempat, iaitu daya inisiatif. Daya inisiatif ini penting untuk mewujudkan idea-idea baru yang akan menjana kecemerlangan produktiviti. Daya inisiatif ini akan mewujudkan kepada invensi perkara baru yang lebih bermanfaat kepada manusia sejagat.
Sebagai seorang mahasiswa, ciri-ciri minda kelas pertama ini perlu ada pada setiap mahasiswa bagi memastikan mahasiswa yang dilahirkan adalah mahasiswa yang berkualiti. Minda kelas pertama adalah rekusit kepada peradaban yang terbaik untuk umat sejagat. Bukan mudah untuk menjadi yang terbaik namun ia juga bukanlah sesuatu yang mustahil.  

Friday, October 3, 2014

KEMASUKAN PELAJAR KE UNIVERSITI UTARA MALAYSIA SESI SEPT 2014/2015

Alhamdulillah, bulan September tiba lagi. Seperti tahun-tahun sudah, bulan ini begitu dinanti-nantikan oleh beberapa pihak terutamanya pelajar lepasan STPM, STAM dan diploma. hal ini kerana mereka akan melalui hari yang bermakna dalam sejarah hidup mereka, iaitu mendaftar diri pada awal bulan ini bagi meningkatkankan lagi taraf pendidikan masing-masing. Pelbagai persiapan telah mereka lakukan bagi memastikan perjalanan hari itu berjalan dengan lancar.

Bagi sesi kemasukan 39, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima seramai 3,437 pelajar baru sesi Sept 2014/2015. Seramai 328 dari jumlah sebenar merupakan pelajar antarabangsa yang terdiri dari negara China, Indonesia dan Nigeria dan selebihnya merupakan pelajar tempatan. Kemasukan pelajar kali ini melihatkan kebanjiran kaum wanita apabila hampir 3,000 dari kemasukan pelajar ke UUM merupakan pelajar perempuan.

Menurut Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, hanya pelajar yang terbaik dipilih untuk menjadi pelajar di UUM bagi memastikan pelajar yang dilahirkan berkualiti tinggi. Hal ini terbukti apabila dilihat Purata Markah Keseluruhan (PMK) pelajar baru UUM ialah 3.00 dan ke atas.

kemasukan kali ini juga menampakkan kelainan untuk pelajarnya apabila pelajar di bawah Kolej Perniagaan (COB) diwajibkan mengambil subjek elektif bahasa Mendarin sebagai nilai tambah kepada mereka dan membolehkan mereka bersaing untuk menempatkan diri dalam pasaran kerjaya pada masa hadapan.

Menurut Muhammad Leman yang merupakan salah seorang dari pelajar tersebut berkata, dia memilih UUM kerana dia yakin universiti ini mampu memberinya ilmu yang secukupnya untuk dia bersaing dalam dunia perniagaan. Oleh itu, anak kelahiran Batang Kali, Selangor ini tidak kisah apabila terpaksa berhijrah ke bumi sintok yang memakan masa hampir enam jam perjalanan demi secebis ilmu. Suasana pembelajaran yang kondusif dan prestasi UUM yang baik pula menjadi asbab anak kelahiran Kota Bharu, kelantan iaitu Goh Hooi Zing memilih UUM sebagai tempat untuknya melanjutkan pelajaran.

Sebenarnya walau universiti apa pun yang kita dapat, matlamat utama kita masih sama iaitu untuk melanjutkan pelajaran yang lebih tinggi bagi menjamin masa depan yang cerah. Oleh itu, peluang melanjutkan pelajaran ini haruslah dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.